Minggu Penyelidikan Rangsang Fakulti Perubatan Tingkatkan Azam | PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Minggu penyelidikan rangsang Fakulti Perubatan tingkatkan azam

Minggu penyelidikan rangsang Fakulti Perubatan tingkatkan azam



SERDANG,  7 Julai (UPM) – Para penyelidik,  klinisian dan staf Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra  Malaysia (UPM) baru-baru ini menganjurkan Minggu Penyelidikan untuk menilai semula kerja mereka dan meningkatkan semangat masing-masing dengan memberi fokus terhadap penyelidikan klinikal.

Acara pada 25 dan 26 Jun itu menampilkan hasil pameran mereka, maklumat dan peranti baharu berkaitan perubatan serta siri ceramah oleh pakar tempatan dan asing.

Minggu Penyelidikan kali ini,  yang ketiga sejak 2012,  diadakan dengan kerjasama Hospital Serdang, industri dan beberapa fakulti lain UPM,  kata ketua penganjurnya Prof Dr Zamberi Sekawi, timbalan dekan (penyelidikan dan hal ehwal antarabangsa), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.




Menurut beliau, Minggu Penyelidikan yang dianjurkan untuk penyelidik, doktor, professional dan staf pembantu itu bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk mengkaji semula bidang prestasi masing-masing, sambil meraikan kejayaan mereka dalam bidang penyelidikan dan pengajian.

“Dengan adanya program ini, ia dapat memupuk semangat penyelidikan dan perbincangan antara penyelidik/pegawai akademik serta pelajar.

“Hal ini secara langsung dapat mencetuskan minat untuk bekerjasama, terutamanya dalam kalangan pensyarah muda dan pensyarah klinikal  untuk memulakan penyelidikan dengan penyelidik yang sedia ada,” kata Prof Dr Zamberi dalam ucapan alu-aluannya.

Beliau juga berkata input yang dikemukakan para pakar akan menambahkan lagi pengetahuan peserta, di samping mewujudkan hubungan yang lebih luas, termasuk kerjasama antara para penyelidik dan pensyarah klinikal dengan industri dan fakulti lain.




Dr Goh Bak Leong, ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Serdang pula dalam ceramahnya mengenai kepentingan klinisian membuat penyelidikan, berkata pihaknya kini menyasarkan penglibatan klinisian muda dalam kegiatan penyelidikan memandangkan kebanyakan doktor di negara ini hanya memberi fokus terhadap merawat pesakit.

Menurut beliau, berbeza dengan rakan sejawatan mereka di Singapura, kebanyakan doktor di negara ini keberatan untuk melibatkan diri dengan kegiatan penyelidikan atau tidak berminat mengenainya.

“Kita juga terlalu terikat dengan birokrasi dalam pengambilan klinisian dan pesakit untuk melakukan penyelidikan, berbanding jiran kita di selatan itu,” kata beliau ketika mengimbau kembali pengalamannya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.

Beliau menegaskan bahawa antara kekangan yang dihadapi penyelidik di sini ialah kesukaran mendapatkan peserta.

Bagaimanapun, menurut Esdira Aijalida Jamaluddin, Pengurus Komunikasi dan Perhubungan, Clinical Research Malaysia (CRM), kini Malaysia merupakan antara 10 negara utama di Asia yang terlibat dalam penyelidikan klinikal apabila Eropah dan Amerika Syarikat memindahkan percubaan klinikal mereka ke rantau ini kerana pelbagai sebab seperti kos yang lebih rendah, peningkatan kaliber klinisian dan kemudahan perubatan serta pesakit yang bersikap naïf.

Dalam ceramah bertajuk “An Update on Clinical Trials in Malaysia”, beliau berkata Kerajaan Malaysia memainkan peranan proaktif untuk menggalakkan aktiviti percubaan klinikal hingga melonjakkan jumlahnya sebanyak 57% dalam tempoh kurang empat tahun.

Negara lain ialah China, di mana syarikat farmaseutikal membuat pelaburan besar, Korea Selatan yang muncul sebagai antara negara yang paling cepat berkembang dalam bidang percubaan klinikal, diikuti Hong Kong, Singapura, India, Jepun, Filipina, Taiwan dan Thailand.

“Kerajaan Malaysia juga memendekkan garis masa kawal selia dan kelulusan Lembaga Semakan Semula Institusi (IRB) dan menjadikannya lebih kondusif bagi kegiatan percubaan klinikal,” kata pegawai dari CRM  itu, yang ditubuhkan sebagai sebuah unit di Kementerian Kesihatan pada 2007 sebelum menjadi sebuah badan korporat milik kerajaan, yang bukan mencari keuntungan, pada 2012.

Menurut beliau, di Malaysia terdapat 12 lembaga semakan semula institusi dan sebuah Jawatankuasa Etika berpusat, termasuk Jawatankuasa Penyelidikan Etika UPM.

Dari segi kemudahan penjagaan kesihatan pula, Malaysia mempunyai 132 hospital awam dan 209 hospital swasta, lapan institusi perubatan khas, 50 klinik pergigian awam dan 1,623 klinik pergigian swasta, 1,025 pusat perubatan/klinik kesihatan awam dan 6,675 pusat perubatan/klinik kesihatan swasta, di samping 1,831 klinik komuniti.




Sementara itu, Prof Madya Dr Lim Kah Leong, pengarah dan ketua saintis penyelidik, Institut Neurosians Nasional Singapura, yang menyampaikan ceramah pleno mengenai Penyakit Parkinson’s, memperkatakan tentang pendekatan bersifat serampang pelbagai mata untuk memajukan terapi neuroprotektif dan neurorestoratif bagi penyakit yang amat ditakuti.

Dengan menggunakan lalat dalam penyelidikan mereka di makmal, mereka menemui ubat bagi Penyakit Parkinson’s tetapi hanya untuk serangga itu, beliau bergurau dengan penontonnya.

Beliau seterusnya berkata mereka sedang mendalami penemuan sebelum sampai ke tahap percubaan klinikal.

Dr Lim berkata mereka juga menemui beberapa sebatian aktif dalam teh hijau, kopi dan wain merah yang mampu mencegah Penyakit Parkinson’s.

Sementara itu, Prof Dr Adnan Hyder, pengarah Johns Hopkins International Injury Research Unit and Health Systems Programme, pula berkongsi beberapa dapatan awal melalui penyelidikan mereka tentang keselamatan jalan raya global di 10 negara dengan hadirin yang mengikuti ceramah plenonya.

Ahli akademik ini berkata UPM memang tidak asing bagi beliau kerana beliau sering ke sini sejak 10 tahun lepas untuk mengunjungi rakan karibnya, Allahyarham Dato’ Ir. Dr Radin Umar Radin Sohadi, bekas Naib Canselor UPM.  

Penyelidikan dan penilaian terhadap strategi untuk mencegah kemalangan jalan raya, termasuk di Malaysia selama lima tahun itu, bemula pada 2010 dan berakhir apabila keputusannya dimuktamadkan.

Antara keputusan awalnya ialah penguatkuasaan undang-udang dan peraturan adalah lebih penting dalam mencegah kemalangan jalan raya daripada pendidikan dan  “acculturation” (pembudayaan) adalah penting bagi keselamatan jalan raya, manakala memandu adalah suatu keistimewaan, bukan hak.

“Semua perlanggaran boleh dijangka dan dicegah…sebab itulah kami tidak menggunakan perkataan ‘kemalangan’ apabila memperkatakan tentang nahas kenderaan di jalan raya,” katanya.  – upm/kgo/sp 

* Rencana ini telah diterjemahkan oleh Encik Samsudin Puteh.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466009
0389487273